Sign In

Madrasah Tahfiz Al-Yamani Negeri Sembilan

Madrasah Tahfiz Al-Yamani Negeri Sembilan

Category:

Product Description

‘Masih teringat lagi amanat Allahyarham’

Pengasas Madrasah Tahfiz Al-Yamani enggan mengambil bayaran pelajar.

 

 

Arwah suka berpesan kepada anak murid dan sahabatnya supaya sentiasa membawa tasbih, memakai jubah serta serban, menggunakan kayu sugi dan mengikut sunnah Rasulullah (S).
 
 
 

“Arwah beritahu, tak perlu kenakan sebarang bayaran di madrasah ini. Dia bimbang ibu bapa terbeban kerana ilmu itu perlu disebarluaskan tanpa berkira,” kata Mohd Saifuddin Salim, 34, tertang arwah sahabatnya, Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Mohd Fadzli Al-Yamani, 49, yang telah meninggal dunia, pada 27 September yang lalu. Allahyarham adala pengasas Madrasah Tahfiz Al-Yamani, yang terletak di Kampung Gunung Pasir, Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, telah meninggal dunia ketika beliau berada di Guangzhou, China.

 

 

Menurut Mohd Saifuddin, yang juga Pengetua Madrasah berkenaan, pemergian Allahyarham adalah merupakan satu kehilangan besar dan masih terasa lagi sehingga kini dalam kalangan warga Madrasah terbabit. “Kami sentiasa merindui nasihat dan Tarbiah arwah. Arwah tetap di hati kami”, katanya.

 

 

Menceritakan lebih lanjut, Mohd Saifuddin berkata, Allahyarham telah membuka madrasah berkenaan kira-kira tiga tahun lalu, malah akan berkunjung ke Madrasah berkenaan setiap kali tibanya Hari Nuzul Quran, untuk turut serta bersama-sama anak-anak Tahfiz di situ. Setakat ini katanya, terdapat seramai 21 pelajar lelaki yang berusia daripada 10 tahun sehingga 22 tahun.

 

 

“Saya baru menjadi Pengetua di sini sejak setahun lebih. Sebelum ini saya sudah lama bersahabat dengan arwah, sejak 1995. Banyak kata-kata serta Ilmu yang dapat dipelajari sepanjang kami bersama”, katanya.

 

Menurutnya, kehidupan Allahyarham Mohd Fadzli adalah sederhana meskipun memiliki 10 madrasah di seluruh dunia, termasuk di Thailand. “Arwah merupakan Pengasas Madrasah Al-Yamani di Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada 1995, sejurus selepas beliau menamatkan Pengajian Ijazahnya di Yaman. Tujuan penubuhan Madrasah ini, adalah untuk mencurahkan baktinya kepada masyarakat, setelah 10 tahun mendalami ilmu Agama di perantauan seperti di Yaman, Bangladesh dan Pakistan.

 

“Madrasah Al-Yamani bermula secara tidak formal dengan pengambilan hanya beberapa orang pelajar sahaja, yang dikendalikan sendiri arwah yang dijalankan ketika itu, di flat Kampung Baru sahaja. Tetapi, apabila semakin banyak permintaan dan sambutannya,dengan izin Allah yang memberikan kemampuannya dan rezeki, maka kemudiannya operasinya telah berpindah ke tempat lebih selesa, seiring dengan jumlah peserta,” katanya.

 

 

Beliau berkata, Madrasah berkenaan kemudian berkembang secara perlahan-lahan, termasuk penginapan pelajar dan tenaga pengajar, mengikut kemampuan kewangan. Menurutnya, pelajar yang menuntut Ilmu di Madarasah berkenaan tidak dikenakan sebarang bayaran, kerana itulah hasrat Allahyarham ketika awal penubuhan Madrasah berkenaan.

 

 

“Segala perbelanjaan dan pengurusan Madrasah ditanggung secara dalaman dan juga infaq (sumbangan sedekah), daripada individu dan syarikat persendirian. Inilah keistimewaan Madrasah Al-Yamani”, katanya, yang memberitahu perbelanjaan ditanggung Madrasah berkenaan dianggarkan sekitar RM60,000 sehingga RM70,000 sebulan.

 

Beliau berkata, Madrasah ini dibina atas Tanah Wakaf, yang seluas lebih dua hektar, milik Datuk Dr. Abd. Aziz Abdullah. Semangat Allahyarham yang telah tersemat di dalam sanubari Mohd Saifuddin dengan berkata, antara pesanan Allahyarham Mohd Fadzli yang masih segar dalam ingatannya ialah, ”Hidup ini hendaklah bersandarkan Sunnah Nabi Muhammad SAW”.

 

“Arwah suka berpesan kepada anak murid dan sahabatnya supaya sentiasa membawa tasbih, memakai jubah serta serban, menggunakan kayu sugi dan mengikut Sunnah Rasulullah (S).

 

 

“Apa yang saya lihat adalah, arwah lebih fokus kepada perkara-perkara yang orang terlepas pandang. Maksudnya perkara yang dianggap remeh,    tetapi dalam Islam, ia sebenarnya adalah perkara yang penting dalam kehidupan kita. Malah, penerangan dalam Ilmu Fiqh amat jelas dan mudah difahami”, katanya.

 

Menurutnya, beliau akan tetap meneruskan amanat dan perjuangan sahabatnya itu, meskipun mengakui terasa kehilangan Allahyarham. Sebelum berkhidmat sebagai Pengetua di Madrasah berkenaan sejak Oktober lalu, Mohd Saifuddin pernah berkhidmat di tiga tempat Pengajian iaitu Sekolah Menengah Agama (Arab) ILMI, Ampang, Selangor, Darul Quran Wal Hadith (DaQwaH) As Sofa, Ampang, Selangor, dan SMA Ar Raudhah An Nabawiyyah, Janda Baik, Pahang.

 

Sementara itu, pelajar Madrasah terbabit, Mohd Yusuf Amrizal, 19, berkata, meskipun seketika bertemu dengan Allahyarham Tokoh Agama itu, namun aura serta semangatnya akan tetap tersemat dalam sanubarinya.

 

“Saya menjejakkan kaki ke sini kerana sedar, diri saya telah tersasar jauh dari jalan Allah. ALLAH S.W.T. telah menggerakkan hati saya, untuk mencari Pusat-Pusat Tahfiz dan Madrasah. Alhamdulillah, ALLAH telah membuka ruang untuk saya menjadi salah seorang ahli keluarga madrasah milik arwah”, katanya.

 

Menurutnya, dia baru berada di madrasah berkenaan sejak setahun satu bulan lalu, dan kini sudah berjaya menghafal 10 Juzuk Al-Quran.

 

“Cara pembelajaran saya bermula, dengan membaca serta memahami Tafsir Al-Quran, kemudian barulah menghafal Ayat Al-Quran berulang kali. Ketenangan pastinya akan diperolehi di sini. Jika diizinkan-Nya, saya akan meneruskan dakwah kepada masyarakat seperti mana Pengasas Madrasah ini, yang telah menjelajah ke negara luar seperti Kemboja dan Thailand”, katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

 

Bagi Mohd Ismail Mat Hisyam, 11, dari Kampung Rembang Panas, di sini pula, dia memilih Allahyarham Ustaz Mohd Fadzli sebagai mentor dalam hidupnya, untuk mendalami Ilmu Agama. “Insya-Allah, saya akan berusaha menjadi insan yang berguna kepada Agama dan bangsa demi menjaga nama serta imej Madrasah ini. Ilmu yang dipelajari di sini, akan saya teruskan selepas tamat Pengajian dalam tempoh dua tahun lagi”, katanya yang sudah pun menghafaz 10 Juzuk dalam tempoh setahun enam bulan.

 

 

SEKIAN SAHAJA, TERIMA KASIH…

Reviews

There are no reviews yet.

Add Review

Add Review

Be the first to review “Madrasah Tahfiz Al-Yamani Negeri Sembilan”

Your email address will not be published. Required fields are marked *